
PUTRAJAYA – Pelantikan jurutera Malaysia yang terlibat dalam perkhidmatan, penyelenggaraan pembaikan dan baik pulih (MRO) menerusi SIA Engineering Company (SIAEC), milik Singapura membuktikan bakat anak tempatan dalam sektor tersebut diiktiraf oleh peringkat antarabangsa.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, kemasukan pelabur asing dalam skop MRO Malaysia harus dilihat positif berikutan memberi sumbangan besar kepada ekonomi dan secara tidak langsung menawarkan gaji lebih baik kepada pekerja Malaysia dalam sektor berkaitan.
Menurutnya, peningkatan trafik udara di Selangor telah mendorong permintaan bagi kemudahan bidang MRO sehingga mampu menarik pelabur asing dalam memperkasakan penerbangan negara.

“Peralihan syarikat MRO di Malaysia memerlukan pensijilan khusus, seperti SIAEC, syarikat itu perlu mendapatkan pengesahan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura.
“Proses tersebut membuktikan peralihan (bersama SIAEC) adalah berdasarkan kelayakan, bukan ‘pemburuan haram’ semata-mata,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Sze berharap agar dakwaan bahawa penerbangan negara dikuasai kuasa asing yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, khususnya pembangkang dihentikan, semata-mata hanya mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
“Mengapa kita harus menghalang mereka (jurutera MRO Malaysia) mengejar lebih banyak peluang apabila pelabur asing berminat untuk mengambil pekerja tempatan, menawarkan gaji yang kompetitif dan menyumbang kepada ekonomi negara.
“Sebagai penggubal dasar, tumpuan kita harus tertumpu pada memupuk perbincangan yang membina dan menyokong kedua-dua syarikat penerbangan nasional dan syarikat asing yang meningkatkan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia, bukannya tunduk kepada kritikan bermotifkan politik,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan lebih 60 pekerja yang terlibat dalam MRO bagi pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) meletak jawatan selepas menjadi ‘buruan’ SIAEC, sebuah firma penyelenggaraan pesawat yang dimiliki Singapore Airlines.
Menurut laporan itu, ia menyebabkan kelewatan dan pembatalan beberapa penerbangan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal, di samping isu teknikal yang memaksa sekurang-kurangnya tiga penerbangan berpatah balik baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan kekurangan jurutera pesawat dan komponen mekanikal sebagai punca masalah operasi penerbangan Malaysia Airlines, di mana 63 jurutera meletak jawatan dari MAB Engineering sejak Januari lalu.
Beliau juga turut memaklumkan, Kementerian Pengangkutan sedang mendapatkan laporan lengkap daripada MAB berhubung pesawat MH66 yang terpaksa berpatah balik, khususnya ketika dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, Ahad lalu.
Jelasnya, beliau sendiri sudah berhubung dengan syarikat penerbangan terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai insiden itu.







