
KERAJAAN memberi jaminan bahawa pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) tidak akan membebankan majoriti rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pengenaan cukai tersebut dilakukan secara bersasar dengan pengecualian yang diberikan kepada barangan dan perkhidmatan asas.
“Berdasarkan kajian impak awal yang telah dijalankan oleh Kementerian Kewangan sebelum pelaksanaan SST, didapati kesannya terhadap isi rumah khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana adalah rendah serta terkawal.
“Ini kerana pengenaan cukai dibuat secara bersasar menerusi pengecualian cukai jualan ke atas barangan keperluan asas seperti makanan ruji, ubat-ubatan, buku serta mesin atau jentera yang digunakan dalam sektor pertanian dan penternakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, hasil tambahan daripada peluasan SST akan disalurkan semula untuk manfaat rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan dan subsidi yang disediakan di bawah dasar kerajaan.
“Dalam masa yang sama, pemantauan harga barangan dan kos perkhidmatan dilakukan secara aktif dari semasa ke semasa oleh agensi penguatkuasaan.
“Langkah penguatkuasaan ini penting untuk melindungi pengguna daripada kesan rantaian yang tidak wajar dan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Peluasan SST dijangka bukan sahaja membolehkan sumber hasil kerajaan dapat diperkukuh, tetapi dalam masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan bahawa cukai digital bukan merupakan cukai baharu, sebaliknya telah mula dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020, namun dengan mekanisme yang berbeza berbanding peluasan SST yang berkuat kuasa mulai Julai 2025.








