
KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hari ini dimulakan dengan menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin dan bacaan al-Fatihah atas pemergian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Iran, akhir bulan lalu.
Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Aminuddin ketika memulakan sesi persidangan berkata, ia sebagai tanda solidariti terhadap kematian Ismail serta nasib yang menimpa rakyat Palestin ketika ini.
“Mereka saudara kita, kita makan nasi, mereka makan rumput, jadi kita bersimpati dan menghayati kembalinya pejuang-pejuang Palestin maka kita sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Ismail Haniyeh yang telah syahid,” katanya sebelum memulakan persidangan PAU 2024 di 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pagi ini.
Sementara itu, upacara menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa dilaksanakan oleh presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Plaza Merdeka sambil delegasi menyanyikan lagu UMNO – Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.
Ahmad Zahid diiringi Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Dr Akmal Saleh dan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Sebelum itu, semua kepimpinan UMNO yang hadir hari ini dilihat memakai selendang lambang Palestin ketika memasuki Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.
Pada 31 Julai lalu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan meninggal dunia akibat dibunuh di Iran.
Pemergian pemimpin tertinggi itu dirancang oleh rejim zionis dalam satu serangan khianat di kediamannya di Tehran.