
KUALA LUMPUR – Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terleka dengan kemenangan pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri agar tidak menjejaskan peluang memenangi PRK Mahkota di Johor bulan depan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa barisan jentera parti perlu terus fokus membuat persiapan rapi.
“Jangan leka atas kejayaan Nenggiri sebagaimana jangan leka atas kejayaan (Pakatan Harapan) di (PRK) Kuala Kubu Bharu.
“Di (PRK) Sungai Bakap (tewas) agaknya sebab terleka… sebab kita yakin menang setelah menang di Kuala Kubu Bharu.
“Apabila kalah di Sungai Bakap itu, kami buat kerja dua kali ganda di Nenggiri.
“Peringatan kepada jentera, kita menang di Kuala Kubu Bharu tapi kita kalah di Sungai Bakap.
“Kita jangan pula menang di Nenggiri tapi kalah di Mahkota. Jadi jentera kena terus buat persiapan rapi,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga timbalan pengarah pilihan raya Mahkota berharap agar calon bakal diketengahkan BN pada PRK itu menepati ciri-ciri ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima), ‘likeable’ (disenangi) (WALI) seperti diutarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dan harapan kita (pemilihan calon) diputuskan tidak terlalu lambat. Apabila kita umum lebih awal, jadi calon itu boleh bergerak lebih awal.
“Jadi itu satu lagi kaedah di Nenggiri yang boleh kita laksanakan (di Mahkota). Dia tak boleh (diumumkan) dua hari sebelum penamaan calon,” katanya.
Mengulas mengenai peluang BN mempertahankan kemenangan di Mahkota, Ahmad berkata, secara peribadi beliau mengharapkan parti itu dapat menggandakan majoriti dimenangi sebelum ini kepada 10,000.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan jumlah majoriti menjadi lebih memandangkan BN kini bekerjasama dengan jentera PH.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal ditetapkan pada 14 dan 24 September.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.