KUCHING – Majlis penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada Sabtu ini dijangka padat dengan persembahan kebudayaan yang memaparkan keunikan budaya Sarawak.
“Walaupun majlis penutupan tidak semeriah majlis perasmian, ia tetap mengekalkan unsur kemeriahan dengan persembahan menarik yang disediakan,” kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau menyatakan demikian semasa ditemu bual dalam slot Cerita Pagi Sarawak dan rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM, yang berlangsung di Pusat Media Utama (PMU) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada Jumaat.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan hadir pada majlis tersebut untuk mengumumkan pemenang keseluruhan SUKMA XXI.
“Saya berharap agar Sarawak dapat meraih gelaran juara keseluruhan meskipun persaingan antara pasukan sangat sengit,” ujar beliau.




