AGAK melucukan apabila Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang medianya di Gua Musang pada 4 Ogos lalu mendakwa, kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini bergolak.
Dengan menggunakan istikan ‘berantakan’ sebagai kata kunci dakwaannya, Menteri Besar Kedah itu berkata bahawa perkara itu boleh dilihat daripada ketiadaan pemimpin tertinggi PH pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sehari sebelumnya.
Beliau cukup yakin bahawa PH dan BN sedang melalui fasa bermasalah seterusnya hal tersebut memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kerusi DUN Nenggiri pada ‘sayembara’ 17 Ogos nanti.
Tanpa berselindung lagi, tokoh Pas yang terkenal dengan kenyataan ‘mulut besar’ itu mengisytiharkan bahawa PN mampu mengakhiri hari pengundian Sabtu depan dengan kemenangan majoriti lebih 2,000 undi.
Demikianlah besar dan lebarnya mulut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat tanpa mahu melihat kiri kanan sedikit pun dalam membariskan sesuatu kenyataaan.
Sanusi, sila jawab soalan ini – “Pihak mana sebenarnya yang berantakan?”
Adakah Sanusi tidak sedar kemarahan sebahagian ahli Bersatu kepada Pas yang tidak sudah-sudah mencucuk duri ke punggung rakan sekutu, termasuklah mencipta skrip pementasan dalam pemilihan calon PN bagi PRK DUN Nenggiri?
Adakah Menteri Besar Kedah itu langsung tidak perasan wujud gelombang kemarahan berkenaan yang akhirnya membawa peristiwa hitam 7 Ogos 2024 – hanya tiga hari selepas beliau dengan penuh yakin mendakwa PH dan BN berantakan?
Sanusi, tidakkah tuan tahu bahawa sembilan (9) daripada 28 cawangan Bersatu Jeli yang melibat kira-kira 1,000 ahli, keluar parti, antaranya kerana mereka tidak berpuas hati Bersatu terlalu tunduk kepada Pas dalam isu pemilihan calon DUN Nenggiri?
Tidakkah itu bukti terang-benderang bahawa yang berantakan itu gabungan Bersatu dan Pas; bukannya kerjasama PH dan BN?
Apakah tuan mahu menutup mata atas perkembangan ini dan berterusan bercakap besar yang akhirnya menyebabkan orang ketawa berdekah-dekah?
Sanusi, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar! Boleh?






