
KENYATAAN terbaharu ADUN Chukai, Hanafiah Mat kononnya Terengganu bakal menjadi ‘game changer ekonomi hijau Malaysia’ hanyalah satu lagi helah lama yang dibungkus semula dengan cat hijau.
Di sebalik slogan manis dan senyuman yakin, terselit realiti getir: Pas Terengganu sedang menunggang projek Kerajaan Persekutuan untuk menutup kegagalan pentadbiran negeri.
ECRL dan Ammonia Hijau bukan projek Pas
Dalam kenyataan itu, ADUN Chukai mendakwa projek mega ECRL dan pembangunan industri tenaga hijau termasuk Ammonia Hijau bakal mengubah landskap ekonomi negeri. Namun fakta sebenar amat jelas kedua-duanya ialah projek Persekutuan, bukan inisiatif negeri.
ECRL dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Malaysia Rail Link (MRL) dengan kerjasama China Communications Construction Company (CCCC). Projek Ammonia Hijau pula dilaksanakan di bawah dasar National Energy Transition Roadmap (NETR) yang digerakkan oleh Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan Negeri hanya meluluskan tanah dan menghadiri majlis pecah tanah, namun pantas menuntut kredit politik seolah-olah merekalah arkitek sebenar pembangunan tersebut.
Inilah hakikat yang cuba disorok di sebalik slogan ‘Ekonomi Hijau Terengganu’.
Realitinya: Ekonomi negeri hidup atas bantuan Putrajaya
Walaupun kononnya ‘teguh walau ditekan’ laporan Belanjawan Negeri Terengganu 2026 sendiri menunjukkan 93 peratus hasil negeri datang daripada terimaan bukan hasil termasuk royalti minyak dan bantuan Kerajaan Persekutuan.
Sektor bukan petroleum pula masih lembab, dengan pelaburan luar hanya RM4.3 bilion setakat September, majoritinya datang melalui fasilitasi agensi persekutuan seperti MIDA dan ECERDC.
Jika benar pentadbiran negeri hebat, mengapa setiap projek besar tetap bergantung kepada dana dan pelabur yang dibawa kerajaan pusat?
Hakikatnya mudah, Pas tidak mampu memacu pembangunan berdikari, tetapi bijak memanipulasi kejayaan orang lain untuk dijadikan modal politik.
Ekonomi Hijau? Sekadar hiasan retorik
Istilah ‘Ammonia Hijau’ dan ‘Ekonomi Hijau’ kini menjadi kata sihir baharu dalam propaganda Pas Terengganu. Namun, di lapangan, tiada sebarang program besar tenaga hijau yang benar-benar berjalan.
Tiada pusat latihan hijau, tiada pelan tenaga boleh diperbaharui negeri, tiada kesan langsung terhadap pekerjaan tempatan.
Yang wujud hanyalah sepanduk besar, ucapan di sidang DUN, dan kempen media sosial yang cuba menggambarkan seolah-olah Terengganu sudah mendahului revolusi hijau nasional.
Sedangkan rakyat masih bergelut dengan tarif air yang meningkat, premium tanah yang naik, kadar pengangguran belia tinggi, dan harga barang yang menjerut poket.
Strategi lama Pas: ‘Claim’ bila berjaya, salahkan bila gagal
Corak politik ini bukan baharu.
Setiap kali kerajaan Pusat melaksanakan projek besar ECRL, pelabuhan, hospital, sekolah Pas akan tampil menuntut kredit di pentas DUN. Tetapi apabila berlaku kelewatan, mereka cepat menuding jari ke Putrajaya dan mendakwa kononnya ‘dianaktirikan’.
Itulah politik dua wajah Pas Terengganu:
Menunggang kejayaan pusat bila mahu dipuji,
Menyalahkan pusat bila rakyat marah.
Dan kini, naratif ‘Ekonomi Hijau’ hanyalah versi terbaharu taktik lama itu.
Data bercakap, propaganda gagal tutup hakikat
Sementara mereka menabur slogan ‘Terengganu negeri paling bahagia’, laporan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan:
Pendapatan isi rumah median Terengganu kekal antara terendah di Semenanjung (RM5,200).
Kadar pengangguran belia antara tertinggi di Malaysia (sekitar 6–7 peratus).
Pertumbuhan ekonomi negeri perlahan dan tidak seimbang, masih tertumpu kepada sektor petroleum.
Jika ini dianggap kejayaan, ia hanyalah kebahagiaan dalam fantasi politik bukan realiti rakyat di warung dan pasar tani.
Pas tak membangun, hanya menghias
Kenyataan ADUN Chukai bukan laporan ekonomi, tetapi skrip propaganda menjelang pilihan raya.
Pas cuba menukar projek nasional menjadi bahan kempen tempatan, menunggang hasil kerja kerajaan Madani sambil terus menjual naratif ‘kami dizalimi pusat’.
Sebenarnya, yang berlaku ialah sebaliknya:
Kerajaan Persekutuanlah yang menanggung beban pembangunan Terengganu, sementara Pas hanya tahu ‘posing’ di tapak projek.
Rakyat Terengganu harus sedar masa depan negeri tidak akan berubah dengan slogan hijau yang diulang-ulang.
Yang membawa kemajuan sebenar ialah dasar berpaksikan fakta, bukan fatamorgana politik.
Dan sampai bila Terengganu mahu hidup di bawah bayang projek pusat yang ‘ditunggang’ oleh mereka yang hanya pandai mendabik dada?






