
MUAR – Pas mengesahkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menghantar surat rasmi untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang kepada kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN), pada Sabtu.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, jawatan berkenaan akan dikosongkan terlebih dahulu buat waktu ini sementara menunggu sidang Parlimen akan datang.
“Semalam, Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah hantar surat letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang, perkara itu ada dibincangkan pada Sabtu.
“Kemudian keputusan turut dibuat bahawa jawatan berkenaan dikosongkan sehingga sidang parlimen akan datang kerana jawatan tersebut akan ditentukan Ahli Parlimen, bukan parti Pas atau Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung kemelut lantikan jawatan Ketua Pembangkang baharu selepas Hamzah mengumumkan keluar Bersatu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mahfodz berkata, pihaknya berharap jawatan tersebut akan disandang ahli Parlimen Pas susulan jumlah majoriti ahli Parlimen pembangkang ketika ini adalah daripada parti berkenaan.
“Sebelum ini jawatan itu sudah dipegang Ahli Parlimen Bersatu, jadi sekarang kita rasa dah sampai masa untuk Pas jadi ketua pembangkang.
“Jumlah ahli Parlimen pembangkang paling ramai daripada Pas, maka itu yang munasabah,” katanya.
Mengulas kriteria ketua pembangkang, beliau berkata, jawatan itu perlulah disandang oleh individu yang mempunyai beberapa kriteria penting termasuk pasukan penyelidik yang bagus.
“Ketua pembangkang perlulah seseorang individu yang mempunyai pasukan penyelidik yang bagus bagi menentukan apakah dasar kerajaan yang wajar disokong dan yang wajar dibangkang, bukan bangkang semuanya.
“Sebagai contoh, kenaikan harga diesel, kita boleh terima tetapi mengapa ada perbezaan harga yang terlalu tinggi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Satu negara tetapi berbeza, jika perbezaan hanya sekitar RM1 atau RM2 mungkin boleh diterima,” katanya.







