
ALOR SETAR – Kenyataan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya mendakwa pihak Pakatan Harapan (PH) bermain politik semasa menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir mendapat perhatian Penolong Setiausaha Amanah Nasional.
Menurut Penolong Setiausaha Amanah Nasional, Ridzwan Abu Bakar berkata, sepatutnya isu menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir yang sangat memerlukan bantuan tidak harus dipertikaikan.
Katanya, dakwaan Ahmad Yahya itu adalah sangat dangkal sama sekali kerana semasa banjir itu ahli Pas turut turun dengan membawa barangan sumbangan yang berlogokan parti mereka.
“Bagaimana katanya PH bermain politik semasa banjir ini sedangkan ahli Pas atau Bersatu ada membawa barangan berlogokan parti masing-masing.
“Ahmad silap sebelum mendakwa pihak lain perlu melihat diri sendiri. Itulah budaya Pas sering menyalahi pihak lain sedangkan mereka yang sering polemikkan isu terlebih dahulu.
“Pihak Kerajaan Madani tidak pernah membangkit isu sumbangan politik ini dan melakukannya demi kemanusiaan,” katanya.
Menurut Rizwan lagi, pihak PN bukan sahaja menghulurkan barangan makanan kepada mangsa banjir, malah turut menghulurkan baju T serta beg berlogokan wakil rakyat mereka kepada mangsa banjir.
“Adalah sangat memalukan dalam keadaan banjir seperti ini PN masih lagi mahu berkempen dengan menghulurkan barangan berlogokan PN itu.
“Cukup-cukuplah berkempen dan bukan masanya lagi. Sekarang masa untuk membantu mangsa banjir dengan tidak kira sama ada ahli PN atau pun PH.
“Musibah banjir ini menjadi medan kepada semua masyarakat untuk membantu mereka yang menghadapi musibah dan bukannya hanya mahu menunding jari untuk mendapat publisiti murahan,” katanya.
Ridzwan berkata, beliau difahamkan sumbangan dari Pas atau PN dikatakan hanya untuk ahli mereka sahaja.
Jika demikian ia sangat menyedihkan kerana semasa banjir itu semua mangsa tidak kira apa politik pun semuanya terkena musibah.
“Adalah mengecewakan sebuah parti politik berteraskan Islam sanggup melakukan sedemikian. Walaupun mereka yang bukannya ahli Pas perlu juga diberi bantuan kerana mereka juga adalah manusia dan hamba Allah.
“Ini jelas menunjukkan Pas hari ini lebih mengutamakan kuasa dari membantu kemanusiaan hingga sanggup menyisihkan mereka yang tidak sehaluan dengan mereka. Ini bertentangan dengan hukum Allah yang mahukan hambanya menolong antara satu sama lain terutamanya semasa dalam kesusahan.
“Tidak ada sapa untung pun jika bertindak demikian. Sepatutnya sesama Islam perlu pakat-pakat buat pahala dan jangan membuat dosa dengan menuduh perkara yang tidak pasti,” katanya .






