KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang membuka 25 kertas siasatan membabitkan kes rampasan minuman keras seludup di negeri ini sejak awal tahun ini hingga Sept.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, daripada jumlah itu 14 individu ditahan bagi tujuan siasatan dan tiga daripadanya sudah dituduh di mahkamah.
“Tangkapan dibuat membabitkan suspek berusia antara 20-an dan 40-an.
“Ada antaranya adalah warga asing dan satu daripada kes yang dibawa ke mahkamah sudah dijatuhkan hukuman,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Mohd Asri memberitahu, rampasan minuman keras direkodkan pihaknya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini bernilai RM217,741.71.
Katanya, ia membabitkan kerugian cukai dan duti sebanyak RM638,216.17.
“Jumlah rampasan ini termasuk serbuan di sebuah gudang berhampiran bandar raya Kuantan pada 4 September lalu.
“Semasa serbuan itu, kita menemui minuman keras pelbagai jenama yang tidak membayar cukai.
“Rampasan itu bernilai RM23,238.58 dan ketika serbuan, gudang itu tidak mempunyai pekerja atau penjaga,” jelasnya.
Beliau memaklumkan usaha untuk mengesan pemilik dan penyewa gudang berkenaan sedang dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.
Mohd Asri dalam perkembangan sama berkata, kumpulan atau sindiket penyeludupan minuman keras yang aktif di Pahang menggunakan premis perniagaan, gudang dan premis kediaman bagi menyimpan stok mereka.
Katanya, stok itu kemudiannya diedarkan ke premis perniagaan dan kawasan yang mempunyai permintaan tinggi bagi memperoleh keuntungan lumayan.



