
DALAM sejarah politik tanah air, tidak asing untuk melihat parti-parti berubah pendirian, namun perubahan sikap yang drastik dan kelihatan bertentangan dengan prinsip asal sering menimbulkan persoalan tentang keikhlasan perjuangan.
Pas yang sekian lama dikenali dengan retorik agama dan pendirian tegas terhadap isu-isu Islam, kini dilihat semakin tersasar daripada pendirian asal, malah dalam banyak hal , seolah-olah mudah lupa terhadap sejarah perjuangan sendiri.
Di akhir-akhir ini senario Pas semakin berubah dalam perjuangan apabila sanggup ‘menjilat kembali’ segala tohmahan kepada parti atau individu yang selama ini menghina atau menghukum mereka.
Kezaliman rejim Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pemerintahannya banyak menindas perjuangan Pas hinggalah berlakunya pertumpahan darah.
Ceramah Pas pada masa itu tidak sebebas seperti di zaman Kerajaan Perpaduan hari ini.
Penulis pernah menghadiri ceramah Pas yang dibuat di dalam kilang beras akibat sekatan , malah turut merasai bagaimana seksanya apabila terpaksa bergelut dengan tindakan anggota polis simpanan yang mengguna gas pemedih mata bagi menghentikan ceramah politik.
Suasana itu berbeza dengan hari ini yang diberi kelonggaran untuk mengadakan ceramah secara terbuka.
Maka zalimkah Kerajaan MADANI seperti yang didakwa oleh pembangkang hari ini?
Itu tidak dikira lagi dengan peristiwa Memali yang telah meragut 18 orang terkorban dan Pas telah menuduh Mahathir sebagai dalang berlakunya peristiwa berdarah itu.
Tragedi itu menyaksikan ramai wanita di Memali itu telah menjadi ibu tunggal sehingga hari ini mereka masih tidak dapat memaafkan Mahathir.
Sejak dari itu Mahathir dianggap zalim atau autoritarian telah diberi pelbagai gelaran seperti Maha Firaun, Maha Zalim dan sebagainya.
Begitu juga dengan sekatan royalti minyak dan gas kepada Kelantan yang sepatutnya dimiliki oleh Kerajaan Pas Kelantan pada masa itu.
Tindakan itu dianggap sebagai kezaliman ekonomi terhadap negeri yang dipilih secara sah oleh rakyat.
Banyak lagi dosa-dosa yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Pas sehinggalah beberapa pemimpin Pas turut disumbat ke dalam penjara bagi menyelamatkan kepentingan politiknya.
Ironinya, hari ini Mahathir tidak lagi dianggap zalim, malah dijulang dan diberi ruang istimewa oleh Pas dalam pentas-pentas mereka.
Beliau kini seolah-olah telah disucikan dari dosa yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Betullah seperti mana dalil yang pernah beliau katakan… Melayu memang mudah lupa.
Apa yang melucukan, Mahathir kini turut dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas (SG4).
Ini jelas menunjukkan pemimpin Pas begitu menyanjung hingga sanggup mencium tangan Mahathir demi kuasa.
Mereka lupa tangan Mahathir masih lagi berlumuran darah dan penduduk Memali tidak dapat melupakan tragedi hitam itu hingga melakar sejarah politik tanah air sehingga sekarang apabila sesama bangsa dan agama berbunuhan.
Begitu juga dengan bekas pemimpin DAP, P Ramasamy pernah dilabelkan oleh Pas sebagai tokoh anti Islam atas beberapa kenyataannya yang dianggap menghina institusi agama.
Namun hari ini, beliau dirangkul dan diberikan pentas bersama oleh Pas. Adakah kepentingan politik telah mengatasi nilai dan prinsip?
Begitu juga dengan Waytha Moorthy, aktivis lantang memperjuangkan hak kaum India dan pernah dilihat menghina institusi Melayu-Islam juga turut menjadi sasaran Pas sebelum ini.
Bagaimanapun akhir-akhir ini hubungan Pas dengan Waytha dilihat semakin mesra.
Sekali lagi kita lihat Pas melupakan prinsip asas perjuangannya.
Sikap Pas ini menimbulkan persoalan besar adakah perjuangan mereka berteraskan prinsip Islam atau sekadar survival politik sahaja?
Jika musuh dahulu kini dianggap sahabat dan prinsip yang dahulu diperjuangkan kini berkompromi, maka rakyat berhak bertanya adakah Pas benar-benar ikhlas dalam perjuangan mereka atau sekadar parti politik seperti yang lain dan mudah lupa juga?






