PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan gabungan parti yang sudah berusia 50 tahun itu perlu melepaskan ego demi kepentingan politik negara.
Beliau turut menekankan bahawa BN mesti bersedia mencipta perubahan melangkaui kepentingan parti dalam mengatur agenda politik.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, BN perlu bersedia melihat dari sudut pandang lebih luas demi mencapai matlamat lebih besar.
“Sebagai contoh jika kita hendak berbicara mengenai pembahagian kerusi, pastinya UMNO sendiri ingin mendapatkan semula semua 121 kerusi yang pernah ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Namun realitinya, kita perlu bertindak lebih strategik. Kalau dikaji, setiap parti teras pernah mengetepikan ego masing-masing.
“Tatkala penubuhan BN sendiri, UMNO mengetepikan ego untuk bekerjasama dengan Pas… begitu juga MCA… walaupun seteru, pernah bersama Gerakan dan MIC pula bersama MyPPP,” katanya ketika berucap Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN juga perlu bijak menguruskan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat, walaupun terdapat keinginan untuk kembali menjadi parti dominan.
Katanya, rakyat menilai bukan hanya pada janji tetapi juga tindakan dan keputusan dalam menguruskan negara.
“Pilihan untuk bersama Kerajaan Perpaduan adalah pengorbanan besar, namun ia juga peluang BN membuktikan bahawa kita adalah komponen dalam gabungan itu yang matang dan bertanggungjawab.
“Menangguhkan keinginan bukan bermaksud melupakan, tetapi memberi laluan kepada agenda lebih besar.
“Apabila pengorbanan ini dirasai rakyat, maka BN akan kembali dominan seperti yang kita semua harapkan,” katanya.






