KOTA BELUD – Usaha membasmi kemiskinan di Sabah diperkasa menerusi pangkalan data bersepadu yang memastikan bantuan diagih tepat kepada golongan sasaran.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, ia sekali gus membolehkan isi rumah menerima bentuk sokongan paling sesuai untuk keluar daripada kelompok miskin.
“Apabila kita tahu kategori setiap isi rumah, kita dapat pastikan bentuk bantuan yang sesuai untuk membantu mereka keluar dari kelompok kemiskinan.
“Program komuniti dua hari disifatkan sebagai bukti nyata bahawa agenda Sabah Maju Jaya diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan hasil yang dapat dirasai terus oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Pusat Sehenti Daerah Kota Belud dan Ramah Mesra Komuniti SMJ Bersama Ketua Menteri Sabah di Padang Kampung Pantai Emas, di sini, pada Ahad.
Program komuniti anjuran Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) selama dua hari di daerah ini berjaya menarik ribuan penduduk yang bukan sahaja menerima pelbagai manfaat, malah ada yang terus mendapat pekerjaan melalui sesi temu duga.
Fairuz berkata, kejayaan penganjuran kali ini jelas memberi impak kepada rakyat dengan penyertaan meluas termasuk dari daerah luar seperti Ranau.
“Selain lebih 512 geran tanah diserahkan kepada rakyat, lebih 700 peluang pekerjaan ditawarkan dan sebahagiannya sudah pun diisi.
“Ini menunjukkan program seperti ini bukan sekadar pameran tetapi benar-benar membuka ruang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Selain pameran pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, program turut disemarakkan dengan aktiviti sukaneka serta program sosial bersama komuniti setempat.




