
KOTA BELUD – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan kerajaan yang gagal seperti dakwaan pembangkang, sebaliknya berjaya meningkatkan hasil negeri serta menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, hasil negeri kini mencecah RM7 bilion berbanding hanya RM4 bilion sebelum ini manakala lebih 400 inisiatif pembangunan di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah dimulakan dengan kadar pencapaian 94 peratus.
“Jika benar kerajaan GRS gagal, kita tidak akan mampu menyalurkan begitu banyak bantuan kepada rakyat dan tidak mungkin hasil negeri dapat ditingkatkan.
“Pembangkang hanya tahu menyebarkan fitnah di media sosial,” katanya ketika berucap semasa Program Ramah Mesra Komuniti SMJ Bersama Ketua Menteri Sabah, di Kampung Pantai Emas, pada Ahad.
Tambahnya, sejak 2021 hingga 2024 Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM1.49 bilion untuk membantu 336,076 penerima melalui pelbagai skim kebajikan termasuk Skim Bantuan Am (SBAM) dan Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY).
“Tahun ini sahaja, sebanyak RM385.5 juta disediakan menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) untuk 100,000 golongan miskin dan miskin tegar.
“Bagi tahun 2025, kerajaan memperuntukkan RM488.5 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan dengan menggunakan pangkalan data PADANs bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang sesuai,” katanya.
Dalam pada itu Hajiji berkata, kerajaan turut memperkukuh pembangunan modal insan dengan memperuntukkan kira-kira RM1.33 bilion khusus dalam bidang pendidikan.
“Perkara ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kita telah meningkatkan peruntukan biasiswa negeri kepada RM138 juta tahun ini berbanding hanya RM50 juta sebelum ini,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan Ekonomi Biru sebagai sumber kekayaan baharu.
“Hasil negeri juga meningkat menerusi penglibatan lebih besar dalam sektor minyak dan gas selepas termeterainya Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) bersama Petronas.
“Semua pencapaian ini membuktikan GRS adalah kerajaan yang berfungsi, berkesan dan komited untuk membawa kesejahteraan rakyat serta kemajuan Sabah,” ujarnya.





