GERIK – Tular di media sosial apabila seekor harimau yang dipercayai membaham dua lelaki di Bersia, Gerik dan Batu Melintang, Jeli, Kelantan pada Selasa serta Rabu lalu, telah berjaya memasuki perangkap.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff dalam satu kenyataan mengesahkan perkara berkaitan penangkapan Pak Belang itu bagaimanapun memaklumkan, segala butiran lanjut berhubung tangkapan haiwan karnivor itu akan diberikan oleh Pengarah Perhilitan Kelantan.
Menurutnya, harimau tersebut ditangkap di kawasan Jeli yang terletak di Kelantan.
“Ya, sudah masuk perangkap dan tangkapan di Kelantan. Jadi, Pengarah Perhilitan Kelantan yang akan keluarkan kenyataan,” ujarnya ringkas.

Sebelum ini, Perhilitan Perak dan Kelantan melaksanakan gerak kerja menangkap harimau disyaki membaham dua mangsa sehingga maut dengan memasang satu perangkap di kawasan dikenal pasti sebagai tambahan perangkap pada Khamis.
Katanya, perangkap pertama telah dipasang sebelum ini dan pada Jumaat, Perhilitan Perak dan Kelantan telah bertindak memasang satu lagi perangkap.
Media juga melaporkan seorang lelaki warga Myanmar maut dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di Ladang Cili di Batu 18, JRTB Gerik–Jeli dekat Batu Melintang di Jeli.
Terdahulu, kejadian sama berlaku pada awal pagi Selasa, selepas seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, maut diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik–Jeli di Bersia, dekat Gerik.






