
PAHALA sesuatu amalan tidak ditentukan oleh keahlian parti politik, sebaliknya bergantung kepada iman, niat dan amal seseorang, kata pemerhati politik, Ahmad Mursi.
Beliau berkata, ganjaran di sisi Allah SWT tidak pernah dimonopoli oleh mana-mana parti, pertubuhan atau kelompok tertentu, sebaliknya dinilai berdasarkan keikhlasan serta manfaat yang dibawa kepada umat.
Ahmad mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada Majlis Makan Malam Perdana Pas Johor, 7 Februari lalu, yang antara lain menyatakan hanya Pas berani mengatakan perjuangannya berpahala.
Ahmad berkata, kenyataan sedemikian seolah-olah memberi gambaran hanya satu parti yakin perjuangannya mendapat pahala, manakala pihak lain tidak.
“Ulama salaf terkenal dengan sifat wara‘. Mereka tidak mudah mendakwa amal sendiri berpahala, apatah lagi menafikan pahala orang lain kerana bimbang terjebak dengan riya’ dan takabbur,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut menjelaskan antara ciri pemikiran Khawarij ialah kecenderungan mengaitkan kebenaran agama secara eksklusif dengan kelompok sendiri serta meletakkan pihak lain dalam kedudukan salah atau syubhah.
Ahmad berkata, jika seseorang bersama UMNO, Amanah, PKR, DAP atau tidak berparti dan berkhidmat membina sekolah, universiti Islam, sistem halal, institusi kewangan Islam serta membangunkan ekonomi umat, amalan itu tetap dinilai berdasarkan niat dan manfaatnya.
“Begitu juga jika seseorang berpolitik di negara Barat dengan tujuan membantu umat dan menegakkan keadilan, adakah tiada pahala hanya kerana tiada Pas di sana?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai guru yang ikhlas mendidik pelajar tetapi tidak menyertai mana-mana parti atau tidak menyokong Pas, sama ada amalannya menjadi sia-sia hanya kerana perbezaan pendirian politik.
Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan keahlian dalam mana-mana parti tidak menjamin seseorang bebas daripada dosa sekiranya melakukan fitnah atau qazaf sehingga menzalimi orang lain.
Mengulas lanjut, beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah az-Zalzalah ayat 7 yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sekecil zarah, dia pasti akan melihat (balasannya),” katanya.
Katanya, ayat itu menegaskan keadilan Allah SWT yang mutlak, iaitu setiap kebaikan walaupun sebesar zarah akan dinilai tanpa bergantung kepada keahlian parti.
Sehubungan itu, beliau menegaskan ketaksuban parti secara melampau bukan sahaja tidak menguatkan iman, malah boleh melemahkan pertimbangan akal serta membuka ruang kepada kesesatan.









