
TEMERLOH – Seorang pekebun durian tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tertuduh, Shaun Lau Wee Hong, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan, hari ini.
“Mahkamah telah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Kes itu akan disebut semula pada 7 April depan sebagai sebutan dan lantikan peguam,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, tertuduh yang berasal dari Mentakab didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000.
Sebelum ini, media melaporkan pasangan suami isteri ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 134, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan berhampiran Taman Tualang Indah, Mentakab di sini awal pagi Sabtu.
Mohd Nasyim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.55 pagi itu, pasangan berusia 34 dan 35 tahun berkenaan dipercayai terperangkap di dalam kereta jenis Proton Preve yang terbakar.





