
SANDAKAN – Program gotong-royong yang melibatkan pelbagai agensi, pertubuhan serta masyarakat setempat dilaksanakan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Ar-Raudhah (TPIAR), Batu 11, di sini, pada Ahad.
Pengerusi taman perkuburan, Farizal Setoh berkata, penganjuran program itu turut menjadi platform untuk memupuk semangat sukarelawan, memperkukuh kerjasama antara agensi dan komuniti serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kebersihan kawasan awam, khususnya tanah perkuburan Islam.
Sementara itu, wakil Kelab Generasi Alam Sekitar, Jalie Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua agensi, pertubuhan, sukarelawan dan penduduk setempat yang hadir menyumbang tenaga, peralatan serta sokongan bagi menjayakan program berkenaan.
Jalie berkata, komitmen dan kerjasama semua pihak amat dihargai dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan demi manfaat bersama.
Program bertemakan ‘Bersama Memupuk Semangat Sukarelawan dan Prihatin Komuniti’ itu merupakan anjuran bersama Jawatankuasa TPIAR Batu 11 Sandakan dan Kelab Generasi Alam Sekitar dengan kerjasama beberapa agensi serta badan berkaitan.
Program yang bermula seawal pukul 8 pagi itu bertujuan memelihara kebersihan dan keceriaan kawasan tanah perkuburan, selain mencegah pembiakan nyamuk Aedes serta memastikan kawasan berkenaan sentiasa terurus, selamat dan selesa untuk diziarahi.





