
PUTRAJAYA – “Merdeka, merdeka, merdeka.” Itu antara laungan anak kecil di Dataran Putrajaya kerana teruja dan bersemangat menyambut Hari Kebangsaan 2025, pada Ahad.
Keterujaan serta semangat setiap rakyat berbilang bangsa dan agama, jelas terserlah apabila tiada ruang kosong di sepanjang hampir dua kilometer laluan perarakan kerana dipenuhi orang ramai yang mahu menyaksikan acara berkenaan.
Dataran Putrajaya sudah meriah seawal 1 pagi lagi apabila rata-rata pengunjung mula membanjiri kawasan ini untuk bersama-sama menyaksikan acara bermula 8 pagi.
Lebih meriah, ada dalam kalangan pengunjung yang hadir dengan pakaian berwarna-warni dan tidak kurang juga ada yang menghiasinya dengan Jalur Gemilang.
Biarpun laluan ke kawasan utama acara sambutan ditutup sejak 6 petang semalam, pengunjung tetap bersemangat untuk hadir dengan menaiki pengangkutan awam.
Pekerja kilang, Muhd Syazwan Asyraf Zainal, 30, melahirkan kesyukuran kerana akhirnya impian untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 akhirnya menjadi kenyataan.

Katanya, dia bersama isteri tiba di Putrajaya dari Pulau Pinang sejak 5 petang Sabtu dan hanya bermalam dalam kenderaan mereka.
“Alhamdullilah, kali ini saya berjaya mencapai hajat saya untuk menyambut Hari Kebangsaan di Putrajaya bersama orang ramai. Selalunya saya hanya dapat saksikan di televisyen sahaja tapi tahun ini akhirnya dapat bersatu melihat kemeriahan hari kemerdekaan.
“Walaupun letih sebab lepas habis saya bersama isteri akan terus balik Pulau Pinang namun saya sangat teruja dan seronok. Tak sabar nak saksikan perarakan dan perbarisan bagi tahun ini,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Sementara itu, Muhazis Yaakob, 26, berkata, dia tidak pernah terlepas meraikan sambutan Hari Kebangsaan sejak dari kecil.
Lelaki yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur itu berkata, sebagai anak Malaysia, sambutan Hari Kebangsaan menjadi acara penting yang wajib dihadiri.

“Saya anak Malaysia. Saya tidak pernah terlepas sambutan Hari Kebangsaan sejak tingkatan 4 namun tahun ini sebenarnya tiada ‘plan’.
“Namun disebabkan keluarga, khususnya anak buah saya memberi galakan terus saya bersemangat untuk menyaksikan sambutan pada kali ini.
“Anak buah memang teruja sebab nak melihat perarakan terutama aset ketenteraan negara serta pertunjukan udara. Saya harap bagi mereka yang belum hadir lagi, cuba datang tahun depan untuk merasai bagaimana semangat patriotik boleh disemat menerusi program seperti ini,” katanya.
Tinjauan wartawan The Malaysia Press (TMP) di sepanjang Dataran Putrajaya mendapati, pelbagai ragam dan momen menarik dapat dirakam sementara menanti sambutan Hari Kebangsaan 2025 pagi ini.
Ada yang lena dibuai mimpi, rancak berborak bersama, membaca buku, melayari media sosial, menidurkan anak kecil di ribaan dan sebagainya.
Selain itu, orang awam yang masih berjaga turut dijamukan dengan air kopi yang diagihkan secara percuma.







