
PENAMPANG – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyediakan pelbagai skim pembiayaan khusus untuk koperasi termasuk koperasi sekolah.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Malaysia Book of Records (MBR) ‘The Largest Zingiber Officianale Tree Planting Event’ di sini pada Sabtu.
Majlis itu meraikan Sekolah Menengah (SM) St. Micheal Penampang yang mencatatkan sejarah tersendiri berjaya mengukir nama dalam MBR melalui penanaman halia paling banyak di sekolah iaitu 4,857 pokok.
Ewon berkata, ini adalah kali ke-12 SM St. Micheal Penampang mencipta rekod tersendiri.
“Saya berharap inisiatif ini dapat mencapai matlamat dan saya juga akan terus memberi sokongan sewajarnya untuk membantu menjayakan program-program pembangunan pendidikan di sekolah ini dan sekolah-sekolah lain di Penampang.
“Sekiranya inisiatif seperti ini dilaksanakan oleh koperasi sekolah, kita mempunyai Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) berkenaan keterjaminan makanan.
“Selain itu Bank Rakyat juga mempunyai Skim Pembiayaan BRTani khusus untuk memacu industri makanan dan pertanian sekaligus meningkatkan pengeluaran agromakanan negara,” katanya.
Ewon berkata, selaku Ahli Parlimen Penampang, beliau akur dengan keperluan-keperluan sekolah di seluruh kawasan Penampang dan akan terus memberi sokongan bagi menjayakan program mereka.
Antara objektif penanaman halia di sekolah itu ialah untuk membudayakan kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga sekolah dan komuniti luar melalui amalan 3R.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk minat keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah, memupuk minat bercucuk tanam dan melahirkan murid yang kreatif dalam memanfaatkan bahan terpakai untuk meningkatkan kelestarian alam sekitar.
Hadir sama Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong, Pengetua Cemerlang SM St. Micheal, Jennifer Asing dan wakil MBR Siti Nurhanim Mohd Noh.






