TAPAH – Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor menyatakan masyarakat Orang Asli secara umum menunjukkan sokongan terhadap Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Kerajaan MADANI dilihat berusaha mendekati komuniti Orang Asli dengan menyediakan peluang dan kemudahan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
“Kerajaan telah menyuarakan komitmen untuk memastikan hak Orang Asli dijaga serta menjamin mereka terlibat dalam pembangunan negara.
“Saya yakin mereka tetap memberi sokongan khususnya pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita di Program Rintis Komuniti Rakyat MADANI: Majlis Aidilfitri Perpaduan di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, di sini, pada Selasa.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Seramai lebih 300 tetamu hadir termasuk komuniti Orang Asli dan pasukan PGA.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKOM berkata, program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat, khususnya dalam kalangan Orang Asli, anggota pasukan keselamatan dan komuniti setempat dalam semangat Aidilfitri.

Menurut Ismail, majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan hari raya, tetapi juga sebagai satu usaha untuk memperkasakan nilai-nilai perpaduan, keharmonian, dan kerjasama antara pelbagai lapisan masyarakat di kawasan tersebut.
Beliau berkata, selain sambutan Aidilfitri, program ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam mempereratkan hubungan antara pasukan keselamatan dengan masyarakat setempat.
“Program ini melibatkan tiga negeri dan salah satunya di Negeri Perak.
“Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara masyarakat, khususnya dalam kalangan Orang Asli, anggota pasukan keselamatan dan komuniti setempat dalam semangat Aidilfitri.
“Serta menunjukkan sokongan terhadap usaha kerajaan terhadap usaha kerajaan dalam memperkasakan masyarakat melalui inisiatif-inisiatif sosial dan pembangunan komuniti,” ujar beliau.






