
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah komited membantu rakyat di negeri ini, tanpa mengira situasi, termasuk mereka yang ditimpa musibah ketika berada di luar negara.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, bantuan itu termasuk kes melibatkan Rohana Joseph yang jatuh sakit ketika melancong di Vietnam dan telah tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan negeri segera berhubung dengan suaminya, Jamri Herry, bagi menyelaras bantuan serta memastikan rawatan dapat diteruskan di Sabah.
“Sehari selepas kes ini tular, kita telah mula berkomunikasi dengan suami mangsa. Beberapa sesi sidang video juga diadakan bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, pada Jumaat.

Tambah Azrul, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Rumah Sabah, Yayasan Kebajikan Sabah, Kementerian Pembangunan Belia dan Sukan Negeri serta Malaysia Airlines, mangsa berjaya dibawa pulang ke Sabah.
“Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sentiasa peka terhadap kebajikan rakyat, termasuk yang ditimpa kemalangan atau musibah di luar negara.
“Kerajaan tidak memilih situasi. Sama ada kemalangan, sakit atau apa jua keadaan, kita akan berusaha membantu rakyat Sabah selagi termampu,” jelasnya.





