KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus disifatkan sebagai satu langkah yang berhemah dan proaktif, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM adalah berdasarkan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti.
“Walaupun sektor eksport berdepan cabaran, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan termasuk Skim Jaminan Pembiayaan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta usaha penerokaan pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan di X pada Rabu.
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada Rabu memutuskan untuk mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus. Kali terakhir kadar itu berada pada paras yang sama adalah pada Mac 2023, sebelum dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei tahun yang sama.
Dalam kenyataan lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bahawa reformasi ekonomi di bawah kerangka Ekonomi MADANI terus mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
Beliau memaklumkan bahawa kadar inflasi negara telah menurun kepada 1.2 peratus sehingga Mei 2025 – kadar terendah dalam tempoh 51 bulan – manakala kadar penyertaan tenaga buruh pula mencatatkan rekod tertinggi 70.8 peratus.
“Kita mesti terus mara dalam reformasi untuk merencana masa depan negara. Di sebalik cabaran, tetap ada ruang untuk maju apabila kita bersandarkan kepada tatakelola yang lebih baik, inovasi yang berani serta semangat juang yang utuh,” ujar beliau.




