
MUAR – Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Batu Pahat, tengah malam tadi.
Berita pemergian Allahyarhamah Sharifah Mohd Salleh itu dimaklumkan sendiri oleh wakil rakyat berkenaan di laman Facebooknya.
“Sesungguhnya ketentuan Allah Ta’ala telah mentakdirkan bahawa isteri tercinta saya, Sharifah Mohd Salleh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.15 pagi ini di Hospital Pantai Batu Pahat.
“Terima kasih kepada sekalian sahabat handai dan rakan-rakan yang telah mendoakan beliau hingga ke akhir hayatnya lewat malam ini.
“Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin dan semoga Allah mengurniakan rahmat dan kasih sayangNya keatas Allahyarhamah,” katanya.
Terdahulu, Allahyarhamah Sharifah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan sejak beberapa hari lalu akibat komplokasi buah pinggang.
Allahyarhamah yang merupakan pesara guru terpaksa ditidurkan sejak Isnin dan perlu bergantung kepada alat mesin bantuan sebelum disahkan meninggal dunia, malam tadi.




