
PENGIKTIRAFAN global yang diterima Malaysia apabila merangkul kedudukan teratas dalam penilaian Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25 membuktikan beberapa langkah reformasi yang dibawa kerajaan dalam pengurusan data telah membuahkan hasil.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri bagaimanapun menyatakan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan selepas meneliti laporan daripada ODIN.
“Daripada laporan ODIN menunjukkan ada dua aspek yang diteliti iaitu liputan dan keterbukaan. Di situ, liputan menunjukkan ada beberapa sektor seperti hasil keputusan kesihatan, keterjaminan makanan dan nutrisi serta beberapa perkara yang lain perlu kita usahakan.
“Walaupun kita mencapai kedudukan sangat baik dan bagi saya ini satu pengiktirafan usaha terutama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada masa yang sama kementerian-kementerian juga disaran untuk meneliti laporan ini dan lihat bagaimana kita masing-masing mengusahakan data supaya lebih baik di masa hadapan,” katanya pada sidang media mingguan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, menerusi satu kenyataan berkata, Malaysia mencipta sejarah dengan merangkul tempat teratas dalam penilaian ODIN 2024/25 mengatasi 198 negara lain dengan skor keseluruhan 90 dan pengecualian 99 dalam keterbukaan data.
Beliau berkata laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Pemantauan Data Terbuka (ODW) itu menandakan peningkatan ketara bagi Malaysia, yang sebelum ini menduduki tempat ke-67 dalam penilaian 2022/23 dan pencapaian itu adalah bukti jelas kepada keupayaan Malaysia dalam mengukuhkan sistem statistik rasminya dan bersaing di pentas global.
Mohd Uzir juga berkata, penilaian ODIN bukan sahaja menggalakkan amalan terbaik dalam tadbir urus data negara tetapi juga mengukuhkan kedudukan global Malaysia dari segi ketersediaan data yang lebih terperinci, ketelusan dan penggunaan data terbuka.
Beliau menambah bahawa pengiktirafan yang dicapai dalam penilaian ODIN 2024/25 juga menyerlahkan komitmen berterusan DOSM untuk membangunkan ekosistem data berasaskan fakta yang inklusif dan memacu pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Laporan yang dikeluarkan secara dwitahunan memfokuskan pada keterbukaan dan liputan data rasmi negara, dinilai melalui ketersediaan penunjuk utama, pengasingan temporal dan geografi, serta kemudahan akses kepada data dalam format yang boleh dibaca mesin.



