
RANAU – Usaha menaik taraf perkhidmatan pos di Gunung Kinabalu dijangka memberi pengalaman berbeza dan lebih bermakna kepada pendaki serta pelancong dari dalam dan luar negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, antara tarikan baharu yang diperkenalkan ialah poskad edisi khas Gunung Kinabalu yang boleh dihantar terus dari peti pos tertinggi di Malaysia yang terletak di Panalaban, pada ketinggian 3,289 meter dari paras laut.
“Poskad ini boleh dihantar ke seluruh Malaysia dengan kadar pos hanya RM0.30, manakala penghantaran ke luar negara pula dikenakan bayaran RM0.90.
“Ramai pelancong asing teruja apabila mengetahui mereka boleh menghantar poskad terus dari puncak Gunung Kinabalu ke negara asal mereka seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Iran dan Taiwan. Ia menjadikan pengalaman mendaki lebih istimewa,” katanya kepada media selepas Majlis Penutupan Naik Taraf Peti Pos Gunung Kinabalu, di sini pada Rabu.

Inisiatif ini dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pos Malaysia.
Teo berkata, kewujudan peti pos berkenaan bukan sahaja sebagai kemudahan, malah menjadi simbol komunikasi sehala dari puncak tertinggi negara yang memberi kenangan signifikan kepada pengunjung.
Katanya, terdapat dua rekaan baharu poskad Gunung Kinabalu turut diperkenalkan dengan reka bentuk yang menarik dan unik.

“Walaupun di era digital ini surat-menyurat semakin kurang, poskad seperti ini tetap menjadi cenderamata eksklusif yang amat dihargai. Ia juga mencerminkan usaha kreatif Pos Malaysia yang wajar diberikan penghargaan,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi dan MCMC komited memperkasa infrastruktur komunikasi di kawasan tumpuan pelancongan termasuk Gunung Kinabalu.
“Kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pihak berkepentingan amat penting dalam menjayakan agenda penambahbaikan perkhidmatan pos negara.
“Inovasi dalam sektor komunikasi dan pos bukan sahaja meningkatkan kemudahan kepada rakyat dan pelancong, malah turut memperkukuh imej Malaysia menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026),” katanya.






