KUALA LUMPUR – Nomura Holdings Inc, syarikat kewangan terkemuka dunia dari Jepun menaik taraf pasaran saham Malaysia dan Indonesia kepada ‘wajaran tinggi’ daripada ‘neutral’, memandangkan kedua-dua pasaran itu akan mendapat lebih banyak manfaat daripada pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis Nomura dalam satu nota penyelidikan berkata, pelabur wajar mengurangkan pegangan saham di China dan meletakkan wang mereka di Malaysia dan Indonesia.
Saranan Nomura itu dibuat selepas minat yang bertambah terhadap saham Malaysia dan Indonesia dalam kalangan pelabur asing, dengan kedua-dua pasaran bersedia untuk menyaksikan aliran masuk dana bagi bulan kedua berturut-turut.
Sementara itu, pasaran saham China telah goyah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mengheret turun penanda aras MSCI turun sekitar 3.6 peratus sejak akhir Mei, kerana pelabur bimbang terhadap ekonomi negara itu yang tidak menentu dan kesan berpanjangan daripada kemerosotan pasaran hartanah.
“Masanya juga telah tiba untuk menambah ke dalam pasaran Asean,” kata Nomura dalam nota yang disediakan oleh pasukan ekonominya.
Kekuatan ekonomi pacu nilai ringgit
Ia berkata, sebab utama untuk menaik taraf saham negara ini ialah kekuatan pertumbuhan ekonomi Malaysia, pelaburan dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan nilai ringgit.
Setakat ini, ia berkata ringgit adalah mata wang berprestasi terbaik di Asia selain Jepun, meningkat kira-kira lima peratus.
Pasukan ekonomi Nomura juga menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh 2024 melebihi konsensus sebanyak 5.2 peratus untuk Malaysia.
Selain itu, Nomura berkata ringgit telah meningkat, dibantu oleh kelemahan dolar AS yang lebih meluas.
Secara keseluruhan, pasukan strategi pertukaran asing (FX) firma itu meramalkan kelemahan dolar AS yang meluas dalam beberapa bulan akan datang.
“Kami fikir ini juga sepatutnya membantu pulangan untuk pelabur berasaskan dolar AS,” katanya.





