
ANAK sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Najib menafikan desas-desus mendakwa beliau bertemu pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Pahang.
Mohamad Nizar yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, menegaskan pertemuan yang tular di media sosial sebagai cerita dongeng yang tidak pernah berlaku sama sekali.
Katanya, beliau tidak akan berkomplot mengkhianati parti yang keluarganya perjuangkan bersama pemimpin lain.
Malah bapanya, Datuk Seri Najib Razak sentiasa berpesan supaya terus setia kepada parti walau bagaimana susah sekali pun keadaan.
Tegas Nizar, tidak mungkin beliau belot dengan mengkhianati Kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang amat beliau kasihi dan hormati.
“Beliau (Wan Rosdy) juga telah banyak membantu pengundi saya di kawasan Peramu Jaya, Pekan.
“Seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati.
“Mana mungkin saya seorang Exco Kerajaan Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Peramu Jaya) tergamak mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan.
“Saya bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta menjualkan diri kepada mana-mana pembida yang tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan itu meminta supaya fitnah yang hanya mahu mencari keuntungan politik murahan dihentikan.
“Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba) (Hadis Riwayat al-Bukhari).
“Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan Pahang yang ada sekarang,” katanya.
Terdahulu, tular satu poster di media sosial yang mendakwa ‘Pahang sedang goyang! New State Government akan naik. Anak Bossku sudah jumpa PN’.