
KUALA LUMPUR – Mata wang ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan sekumpulan mata wang utama lain pada sesi pagi ketika peserta pasaran menunggu pengumuman mengenai inflasi Malaysia, kata penganalisis.
Pada jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6780/6850 berbanding dolar AS daripada 4.6805/6835 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dijadual mengumumkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) esok untuk mengukur kesan rasionalisasi subsidi bahan api.
“Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh bagi suku kedua 2024 berbanding jangkaan pasaran menunjukkan ekonomi kekal berdaya tahan walaupun ada kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup.
“Ini memberi gambaran bahawa bank pusat Malaysia tidak akan menyertai langkah sekumpulan bank pusat lain mengenai pelonggaran dasar monetari, kerana pendirian dasar semasa kekal menyokong pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, ringgit boleh kekal pada paras semasa memandangkan beberapa peristiwa global sedang berlaku dan peserta pasaran menunggu pengumuman mengenai IHP.
Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, di peringkat global, pengurangan kadar faedah mengejut di China menunjukkan ekonomi kedua terbesar dunia itu memerlukan sokongan untuk mengekalkan sasaran pertumbuhan lima peratus tahun ini selepas KDNK suku kedua 2024 susut kepada 4.7 peratus.
Pada masa sama, Naib Presiden AS, Kamala Harris semakin mendapat sokongan parti Demokrat untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden pada November.
“Indeks Dolar AS (DXY) turun sedikit sebanyak 0.08 peratus kepada 104.314.
“Kempen pilihan raya itu masih perlu diikuti untuk melihat sama ada beliau akan memenangi pilihan raya Presiden atau sebaliknya, namun buat masa ini, keadaan dilihat positif untuk dolar,” katanya.