PUTRAJAYA – Seorang individu yang mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud elemen salah guna kuasa, rasuah, serta konflik kepentingan membabitkan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Jurucakap NGO terbabit memaklumkan, laporan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap pelaksanaan projek tenaga boleh baharu di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR) yang dikelolai oleh bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Beliau yang mewakili NGO berasaskan media berkata, pihaknya mengambil maklum beberapa laporan media sebelum ini yang menyentuh penglibatan syarikat tertentu dalam pembangunan projek tenaga hijau berskala besar.
“Antara dirujuk termasuk laporan The Malaysian Reserve pada 4 Januari 2021 serta The Star pada 27 Julai 2023. Dalam tempoh sama, terdapat kenyataan mengenai penglibatan UEM Group Berhad, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, dan ITRAMAS Corp. Sdn. Bhd. dalam projek solar hibrid berskala besar yang dikaitkan dengan dasar peralihan tenaga negara.
“Berdasarkan carian rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertarikh 31 Julai 2019 bagi syarikat Invoke Solutions Sdn. Bhd., struktur pegangan saham yang direkodkan menunjukkan bahawa Datuk Seri Rafizi Ramli merupakan salah seorang pemegang saham utama syarikat tersebut,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, jurucakap NGO itu berkata, rekod awam dan laporan media juga menyatakan individu yang turut terlibat dalam struktur syarikat berkenaan mempunyai kaitan kepimpinan dalam ITRAMAS Corp. Sdn. Bhd, sebuah syarikat yang aktif dalam sektor tenaga boleh baharu dan dikaitkan dengan pelaksanaan projek strategik di bawah NETR.
Sehubungan itu, berdasarkan fakta terbabit, beliau berpandangan, keperluan untuk SPRM sama ada wujud elemen konflik kepentingan secara langsung atau tidak langsung melibatkan Rafizi dalam proses perancangan, kelulusan atau pelaksanaan projek di bawah NETR.
“Kami juga memohon penelitian sama ada terdapat unsur salah guna kuasa, salah guna pengaruh atau rasuah, termasuk kemungkinan pemberian projek secara rundingan terus kepada pihak yang mempunyai kaitan kepentingan, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta SPRM 2009.
“Siasatan perlu dibuat bagi memastikan semua pengisytiharan kepentingan telah dilaksanakan selaras dengan peraturan Kabinet serta undang-undang yang berkuat kuasa di samping wujud atau tidak penggunaan maklumat dalaman kerajaan bagi memberikan kelebihan komersial kepada mana-mana entiti berkepentingan,” katanya.
Dalam pada itu, NGO terbabit menegaskan laporan itu dibuat atas dasar kepentingan awam, prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus negara, bukan bertujuan untuk membuat sabitan atau menghukum mana-mana piha.
“Tindakan ini bagi memastikan satu siasatan profesional, bebas dan menyeluruh dapat dijalankan oleh pihak berkuasa yang kompeten demi memelihara integriti institusi kerajaan dan keyakinan rakyat.
“Kami percaya ketelusan, tadbir urus yang baik serta pengurusan konflik kepentingan yang jelas adalah asas penting dalam memastikan kejayaan agenda peralihan tenaga negara dan mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap pentadbiran kerajaan,” katanya.
Pada Khamis, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilapor membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang bekas menteri di sebuah kementerian.
Ia membabitkan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat luar negara yang didakwa membabitkan nilai hampir RM1.1 bilion dan dimeterai pada awal tahun lalu.
Laporan itu dibuat secara bersama oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (Panji Malaysia) di Ibu Pejabat SPRM.
Perkara itu kemudian diulang ciap oleh Rafizi di laman sosial X miliknya dengan mendedahkan bahawa ia berkaitan syarikat reka bentuk semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings yang didakwa memberi sogokan kepadanya.







