
SARATOK – Seorang nelayan ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam ruang simpanan ikan di sebuah kapal nelayan yang beroperasi di perairan Kabong, dipercayai akibat gelombang laut kuat, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari yang sama hasil makluman daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga tekong kapal nelayan terbabit.
Menurut beliau, kejadian berlaku di atas kapal nelayan ketika kapal berkenaan sedang menjalankan operasi menangkap ikan di perairan laut Kabong.
“Mangsa berusia 26 tahun yang berasal dari Sibu dan merupakan anak kapal, dipercayai terjatuh ke dalam ruang simpanan tong ikan di dalam kapal selepas kapal dilanda gelombang laut yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kejadian itu disaksikan oleh seorang lagi anak kapal yang kemudiannya segera meminta bantuan rakan-rakan lain bagi menyelamatkan mangsa.

“Namun, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelasnya.
Mathew berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Tanjung Manis untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
Beliau menegaskan bahawa hasil siasatan awal dan keterangan saksi mendapati kejadian berlaku sepenuhnya di dalam kapal nelayan berkenaan dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM). Pihak polis menasihatkan semua nelayan agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri, khususnya ketika beroperasi dalam keadaan laut bergelora,” katanya.







