
KUANTAN – Keputusan diumumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini, perlu dihormati semua pihak.
Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, hujahan hakim mengendalikan kes itu secara jelas memberikan gambaran bahawa perintah tahanan rumah kepada Najib tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari tahun lalu.
Mohd Fadzli yang juga ADUN Lantikan Pahang bagaimanapun menjelaskan, keputusan itu masih boleh dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.
“Saya menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan adendum – Perintah Tahanan Rumah – dan menyifatkan isu itu wajar diberi perhatian serius.
“Justeru, kes ini wajar dirayu bagi memperjelaskan kedudukan perintah tahanan rumah serta prosedur Lembaga Pengampunan, sekali gus berpotensi menjadi rujukan kehakiman dalam sistem perundangan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan simpati Najib dan keluarga serta berharap mereka diberi kekuatan dalam menghadapi perkembangan dan keputusan penghakiman hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman pemenjaraannya di bawah tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan dan membaca alasan penghakiman selama hampir sejam.
Dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi itu bekas Perdana Menteri itu akan terus menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tempoh hukuman tamat.







