PALESTIN menggesa masyarakat antarabangsa agar mempercepatkan pengiktirafan terhadap negara Palestin serta meningkatkan usaha menamatkan pendudukan Israel yang berlarutan sejak puluhan tahun.
Menteri Luar Palestin, Dr Mohammad Mustafa dalam ucapannya di Persidangan Peringkat Tinggi mengenai ‘Penyelesaian Dua Negara’ di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memuji pendirian Perancis yang bakal mengiktiraf kenegaraan Palestin secara rasmi pada September ini.
“Saya menjunjung tinggi keputusan berani dan bersejarah oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk mengiktiraf negara Palestin pada bulan September.
“Saya menyeru semua negara yang belum berbuat demikian agar segera mengiktiraf negara Palestin tanpa berlengah,” katanya, lapor Anadolu.
Setakat ini, sebanyak 149 daripada 193 negara anggota Perhimpunan Agung PBB telah mengiktiraf Palestin, jumlah yang semakin meningkat sejak pencerobohan Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023.
Dr Mustafa turut menegaskan kepentingan menghentikan segala bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin serta menamatkan pendudukan Israel sepenuhnya, termasuk menyatukan wilayah Palestin di bawah satu pentadbiran berdaulat.
“Kita mesti menyatukan Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur tanpa pendudukan, tanpa kepungan, tanpa penempatan haram, tanpa pemindahan paksa, dan tanpa aneksasi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa hanya melalui tindakan segera dan bersungguh-sungguh, keamanan, keselamatan serta kemakmuran bersama dapat dicapai.
Selain itu, beliau menggesa agar kumpulan Hamas menyerahkan semula kuasa pentadbiran di Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) demi kestabilan pascaperang.
“Hamas mesti menamatkan pemerintahannya di Gaza dan menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin,” tegas beliau.
Dr Mustafa juga menyatakan kesediaan Palestin untuk menerima penyertaan pasukan serantau dan antarabangsa bagi tujuan penstabilan dan perlindungan, selaras dengan mandat Majlis Keselamatan PBB.
“Kami bersedia untuk menjemput pasukan serantau dan antarabangsa bekerjasama sepenuhnya dengan negara Palestin sebagai sebahagian daripada misi penstabilan dan perlindungan yang diamanahkan oleh Majlis Keselamatan untuk menjaga keselamatan rakyat kami dan memastikan semua pihak mematuhi gencatan senjata.”
Persidangan selama dua hari itu dianjurkan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi dengan fokus kepada usaha menghidupkan semula rundingan damai dan merealisasikan pelaksanaan penyelesaian dua negara.
Dalam pada itu, Israel terus menolak gesaan masyarakat antarabangsa agar menghentikan serangan dan meneruskan tindakan ketenteraan yang menyasarkan Gaza sejak 7 Oktober 2023, yang telah meragut hampir 60,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.








