PENDAKWAH, Ahmad Shukri Yusoff kesal dengan Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu yang menanam budaya mencela dalam masyarakat.
Kekesalan itu timbul daripada perbuatan peserta himpunan yang menyebat patung menyerupai wajah Perdana Menteri sambil disorak orang ramai.
“Tindakan menyebat patung yang menyerupai pemimpin utama negara bukan lagi bentuk teguran, tetapi penghinaan. Ia mencalar maruah insan dan menanam budaya cela dalam masyarakat.
“Pasti sekali ini bukan cara menegur dan mengkritik pemimpin kerana Islam sangat menjaga maruah manusia, apatah lagi sesama Muslim,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Turut dipetik sabda Rasulullah SAW: “Setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan maruahnya.” (Riwayat Muslim)

Ahmad Shukri juga membandingkan peranan pemimpin bagaikan seorang ayah.
“Perlu diingat, pemimpin yang dilayan sebegitu juga adalah seorang ayah yang mempunyai anak-anak, seorang suami yang mempunyai isteri, seorang datuk yang mempunyai cucu-cucu dan insan biasa yang punya keluarga dan sahabat.
“Bayangkan jika wajah ayah atau ibu kita dijadikan bahan cemuhan di khalayak ramai apa yang kita rasakan,” soalnya.
Beliau menambah bahawa perhimpunan ialah medan menunjukkan perasaan bukan nista dan dusta.
“Perbezaan pandangan dalam siasah adalah perkara biasa. Namun ia bukan alasan untuk mempermainkan maruah orang lain. Bahkan dalam peperangan sekalipun, Rasulullah SAW melarang sahabat mencela musuh yang telah mati,” jelasnya.





