
TAWAU – Lebih 1,000 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka bakal menerima manfaat capaian internet berkelajuan tinggi menerusi Program Santuni MADANI.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Suwadi Guliling berkata, perkara ini antara usaha kerajaan memperkukuh insfrastruktur digital di luar bandar.
“Terdapat permintaan dari SMK Abaka untuk meningkatkan kemajuan internet dan perkara ini telah saya majukan kepada Menteri Komunukasi, Datuk Fahmi Fadzil.
“Oleh itu, Menteri telah bersetuju untuk meningkatkan insfrastruktur ini dan kini dalam proses, sekiranya telah ada akan disalurkan kepada sekolah,” katanya semasa berucap merasmikan Program Santuni MADANI, di SMK Abaka, di sini, pada Jumaat.

Menurut Suwadi, program Santuni MADANI merupakan program penyelesaian isu di kawasan secara terus sama ada dalam aspek pendidikan, kesihatan, kemiskinan dan insfrastruktur yang memanfaatkan penduduk secara keseluruhan.
“Fokus utamanya adalah untuk menyantuni komuniti secara langsung, menyelami realiti kehidupan rakyat di akar umbi, serta
memperkukuh hubungan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.
“Santuni MADANI membawa mesej bahawa dasar kerajaan bukan sekadar polisi atas kertas, tetapi dilaksanakan dan dirasai bersama oleh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar pelajar tidak terlibat dalam penyebaran berita palsu serta tidak terpengaruh dengan kenyataan yang mengelirukan di media sosial.
“Generasi hari ini adalah generasi digital, tetapi perlu bijak menapis maklumat dan mengelak daripada menjadi penyebar berita palsu atau terlibat dalam jenayah siber
“Saya yakin, pelajar-pelajar SMK Abaka mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin masa depan negara,” ujarnya.
Program diisi dengan ceramah Kempen Internet Selamat dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan kuiz kenegaraan dari JKOM selain menandatangani Momento Perpaduan menaik taraf capaian internet SMK Abaka.








