PUCHONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mencampuri urusan sistem kehakiman negara yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Beliau berkata, DNAA itu ditentukan dua pihak termasuk hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Peguam Negara.
“Ini soal hakim, itu soal Peguam Negara,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman, di sini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan DNAA kepada Najib terhadap tiga pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti yang menyebabkan bekas Perdana Menteri itu terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.
Jelasnya, ia menyebabkan penantian panjang untuk perbicaraan yang menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya.
Muniandy berkata, kes itu tergantung di mahkamah sejak 2019 dan sehingga kini belum satu pun keterangan saksi dikemukakan.
Beliau memaklumkan, mahkamah membuat keputusan itu selepas menimbang faktor terdapat kelewatan terlalu lama dalam memulakan perbicaraan bagi kesalahan pengubahan wang haram terhadap Najib dan pelbagai penangguhan diberikan kepada pendakwaan bagi membolehkan mereka bersedia serta hadir untuk mengendalikan kes ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan masih belum bersedia memulakan perbicaraan dalam masa terdekat dan masih gagal mendapatkan serta mengumpul dokumen diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh.
Muniandy berkata, prinsip kedaulatan undang-undang yang terpakai adalah bagi mengelak situasi yang memudaratkan seperti itu.






