
KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud mengagihkan 300 pek bubur lambuk kepada pengunjung Bazar Ramadan University Apartment (UA).
Mustapha berkata, agihan bubur lambuk adalah aktiviti tahunan mereka sempena bulan Ramadan bagi bersama-sama membantu orang yang berkeperluan.
“Walaupun sedikit tapi saya fikir yang penting ialah bagaimana kita mengeratkan pasukan parlimen ini dengan masyarakat di Sepanggar.

“Kita bermula tadi di Kampung Sabang Numbak sebagiannya kita bawa ke Bazar Ramadan UA ini,” katanya ketika ditemui wartawan TMP, selepas agihan bubur lambuk di Bazar Ramadan UA, di sini pada Sabtu.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) turut meluangkan masa melawat hampir setiap gerai dan beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga di bazar tersebut.
Menurut Mustapha, program pengagihan bubur lambuk tersebut akan diteruskan di kampung-kampung dan bazar lain sepanjang bulan Ramadan ini.





