
KANGAR – Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin kini sedang menerima rawatan perubatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak beberapa hari lalu.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi Mursyidul Am Pas yang memohon orang ramai mendoakan kesembuhan serta kesejahteraannya.
Menurut hantaran tersebut, keadaan kesihatan beliau ketika ini tidak mengizinkan untuk menerima sebarang kunjungan ziarah.
“Buat masa ini, Tuan Guru tidak dapat menerima kunjungan ziarah kerana keadaan tidak mengizinkan.
“Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua,” menurut hantaran berkenaan.
Perkembangan kesihatan Hashim turut dikongsi oleh anaknya, Husna menerusi video berdurasi 26 saat di TikTok yang memaparkan keadaan semasa bapanya ketika menerima rawatan di hospital.
Dalam perkongsian itu, Husna memaklumkan bapanya beberapa kali menyuarakan hasrat untuk pulang dan berehat.
“Abah beritahu dia nak balik. Berulang kali juga abah sebut, abah nak rehat di akhirat. Abah kata dia sayang semua anak-anak abah.
“Kami pun sayang abah. Semoga abah cepat sihat,” katanya.
Sehingga pukul 9.30 malam tadi, hantaran tersebut menerima 353 perkongsian dan 434 komen yang rata-rata mendoakan kesembuhan beliau.
Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am Pas keempat pada 10 Oktober 2016 oleh Majlis Syura Ulama Pas susulan pemergian Allahyarham Datuk Dr Haron Din pada 16 September tahun sama.






