
KUANTAN – Pengunjung Pantai Tanjung Pelindung, dekat sini, memuji kreativiti pelukis mural mengubah batu di pantai itu menjadi seekor ‘penyu gergasi’, sekali gus menarik orang ramai berkunjung.
Empat pelukis mural ‘penyu gergasi’ yang seakan terdampar bagaimanapun tidak menyangka ‘kemunculan’ haiwan itu menjadi daya tarikan baharu di pantai berkenaan.
Menurut laporan Berita Harian, kerja melukis mural yang dikenali sebagai ‘Project ZeroSix’ itu diketuai Amir Faruk, 34; Kamal Idris, 33; Azri Azahar, 35; dan Muhd Ikmal Manan, 29, mengambil tempoh selama lima hari untuk disiapkan.
“Pada awalnya, kami tidak menyangka mural ini mendapat perhatian sehingga tular di media sosial selepas ia siap pada 16 Julai lalu.
“Namun, segala penat lelah itu berbaloi apabila mendapat liputan meluas… tidak sampai sebulan hingga pantai Tanjung Pelindung menjadi destinasi pilihan pengunjung setiap hari, terutama waktu petang.
“Pengunjung bukan saja dari sekitar Kuantan, malah Terengganu dan Kelantan yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan ‘penyu gergasi’ ini dengan lebih dekat,” kata Amir.
Amir berkata, idea asal lukisan itu adalah daripada Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Datuk Hamdan Hussin dan mendapat kerjasama dan sokongan Tourism Pahang.
Katanya, sokongan itu berjaya merealisasikan batu sepanjang 20 meter dan tinggi 10 meter digambarkan sebagai seekor penyu yang seakan terdampar.
“Kami difahamkan Pantai Tanjung Pelindung ini antara destinasi persinggahan penyu sekitar tahun 1980 dan 1990-an dalam kalangan penduduk sekitar.
“Dengan adanya ‘penyu’ ini di sini, kami percaya ia akan menjadi daya tarikan pelancongan baharu di Kuantan.
“Cuma kami mengharapkan pengunjung dapat menjaga kebersihan iaitu tidak membuang sampah di pantai ini,” katanya.