
KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn Bhd tampil memberi penjelasan berhubung isu peningkatan bil elektrik dan cagaran tambahan yang tular di media sosial dengan menegaskan kenaikan bil kebelakangan ini banyak dipengaruhi faktor penggunaan semasa termasuk cuaca panas, sambutan Hari Raya Aidilfitri serta penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi secara berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yaakob Jaafar berkata, syarikat utiliti itu memahami kebimbangan pengguna dan komited memastikan setiap isu berkaitan bil elektrik ditangani secara telus, profesional dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
“Antara isu utama yang dibangkitkan pengguna ialah berkaitan cagaran tambahan, peningkatan bil akibat penggunaan semasa, tunggakan bil serta tindakan penguatkuasaan membabitkan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM).
“Cagaran tambahan ialah bayaran deposit tambahan yang dikenakan berdasarkan peningkatan penggunaan semasa atau rekod pembayaran tertentu sebagai jaminan supaya pembayaran bil dibuat dengan lebih teratur.
“Semakan cagaran ini dilaksanakan secara berkala selaras dengan peruntukan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 2024 serta Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.
Tambahnya, semakan cagaran tambahan setiap enam bulan penting bagi memastikan jumlah cagaran yang dipegang adalah selaras dengan corak penggunaan semasa dan risiko pembayaran pengguna.
“Langkah itu juga membantu memastikan akaun pengguna mempunyai jaminan mencukupi sekiranya berlaku peningkatan penggunaan elektrik atau tunggakan bayaran, sekali gus menyokong kelangsungan operasi dan kestabilan sistem bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Yaakob menjelaskan peningkatan bil elektrik kebelakangan ini banyak dipengaruhi faktor penggunaan semasa terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, keadaan cuaca panas serta penggunaan berterusan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti penyaman udara, pemanas air dan peti sejuk tambahan.
Sehubungan itu, pengguna disaran memantau penggunaan elektrik secara berkala dan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengawal jumlah bil bulanan.
“Pengguna juga digalakkan menggunakan aplikasi mySE+ untuk menyemak bil, merekod penggunaan serta mendapatkan maklumat berkaitan akaun elektrik dengan lebih mudah dan pantas,” katanya.
Tambahnya lagi, pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh mendapatkan khidmat nasihat di semua 23 pejabat kawasan Sabah Electricity bagi menyemak meter elektrik dan penggunaan tenaga di premis masing-masing.
“Hasil kutipan bayaran bil elektrik amat penting bagi memastikan operasi sistem bekalan elektrik dapat diteruskan secara mampan termasuk kerja penyelenggaraan, penambahbaikan infrastruktur dan menjamin kestabilan bekalan kepada rakyat.
“Pengguna dinasihatkan supaya membuat semakan bil secara berkala dan memastikan pembayaran dilakukan mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelakkan tunggakan dibawa ke bil seterusnya.
“Sekiranya tunggakan tidak dijelaskan, jumlah keseluruhan bil boleh meningkat dan memberi kesan kepada pengurusan pembayaran pengguna,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai isu KUPM, beliau berkata, Sabah Electricity memandang serius kegiatan penyambungan haram, pengusikan meter dan aktiviti mencuri elektrik kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko keselamatan seperti kebakaran dan renjatan elektrik.
Katanya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi melindungi kepentingan majoriti pengguna yang membayar bil secara sah dan bertanggungjawab.
Dalam masa sama, Mohd Yaakob berkata, Sabah Electricity akan terus memperkukuh komunikasi bersama pengguna serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan ditangani secara profesional, telus dan berintegriti demi kepentingan bersama.
Tambahnya, pengguna yang memerlukan bantuan atau penjelasan lanjut boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di talian 15444 atau 088-515000, WhatsApp 019-8525427 serta menggunakan aplikasi mySE+.






