
KUCHING – Pertandingan bina badan bertaraf antarabangsa Mr. Keling Borneo International 2025 bakal berlangsung sebagai penghormatan kepada pahlawan legenda masyarakat Iban ‘Keling Gerasi Nading’ yang terkenal dengan keberanian dan kekuatan fizikal luar biasa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, pertandingan itu bukan sahaja memberi ruang kepada para atlet menunjukkan kecergasan fizikal malah turut mengetengahkan elemen budaya unik Sarawak khususnya kaum Iban kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
“Melalui acara ini, kita bukan sekadar meraikan kekuatan fizikal, tetapi juga memperkasakan identiti budaya tempatan yang penuh nilai dan sejarah,” katanya.
Seramai 100 atlet tempatan dan antarabangsa akan mengambil bahagian termasuk dari ATM, PDRM, Sabah, Brunei, Thailand, Vietnam, Kalimantan, Singapura dan Semenanjung Malaysia.
Peserta akan tampil dalam pakaian tradisional masing-masing, menyerlahkan warisan budaya dalam konteks pertandingan bina badan moden.
Turut memeriahkan acara ialah kehadiran tujuh NGO yang mempamerkan pakaian tradisional dan kebudayaan etnik Sarawak.
Antara ikon sukan yang dijangka hadir termasuk jaguh para angkat berat negara, Bonnie Bunyau, serta atlet popular seperti Ramos Sari dan Kilat Boy.
Penganjur utama, Buda Anchah berkata objektif pertandingan ini adalah untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan yang menggabungkan elemen warisan dan kecergasan.
“Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga satu platform untuk memperkenalkan budaya Sarawak ke mata dunia,” ujarnya.
Acara ini juga dijangka memberi impak besar kepada ekonomi tempatan melalui peningkatan pelancong, promosi destinasi, pertukaran budaya dan pelaburan dalam sektor sukan dan pelancongan.