
NURUL Izzah Anwar secara rasmi telah mengemukakan pencalonannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
Namanya kini tersenarai di bawah kategori timbalan presiden, sekali gus mengesahkan spekulasi sebelum ini mengenai kepulangannya ke barisan kepimpinan utama parti.
Menerusi kenyataan di Facebook, Nurul Izzah berkata, beliau menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan itu dan akan mencuba untuk memberikan yang terbaik untuk PKR.
“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR 2025-2028.
“Sekiranya perwakilan PKR merasakan saya sesuai untuk menggalas tanggungjawab dan amanah besar ini, Insya-Allah, saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi PKR,” katanya.
Bagaimanapun, nama penyandang jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, masih belum muncul dalam sistem pencalonan tersebut.
Sebelum ini, Nurul Izzah pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden PKR.
Pemilihan PKR 2025 dijangka mendapat perhatian ramai, terutamanya bagi perebutan jawatan nombor dua yang dijangka akan mempengaruhi hala tuju kepimpinan parti pada masa hadapan.