
KUCHING – “Kebersihan alam sekitar di bandar sangat penting dikekalkan demi generasi akan datang,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Micheal Tiang Ming Tee.
Micheal berkata, pencemaran yang berlaku disebabkan aktiviti manusia dapat menjejaskan ekosistem alam semula jadi.
“Kita perlu menjadi contoh yang baik kepada generasi muda dengan membina tabiat yang baik seperti menjaga alam sekitar dan tidak membuang sampah merata-rata,” kata beliau yang hadir pada majlis Program Penutupan Bulan Kebersihan MPP di Batu Kawah Riverbank Park pada Selasa.

Micheal turut memuji usaha Majlis Perbandaran Padawan (MPP) atas kejayaan melaksanakan Program Bulan Kebersihan sepanjang bulan Julai ini.
“Saya difahamkan MPP melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program kitar semula, usaha kelestarian alam sekitar, pendidikan kesihatan, dan program vaksinasi untuk menjadikan Padawan sebagai tempat yang lebih bersih, sihat, dan selamat,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi MPP, Tan Kai berkata, inisiatif menerusi program kitar semula, kelestarian alam sekitar dan kesedaran kesihatan mencapai matlamat.
“Matlamat saya mahukan Padawan sebagai sebagai kawasan bersih, sihat dan selamat,” ujar Tan.

Tambah beliau, sering kali MPP dikaitkan dengan kebersihan bandar, tidak kira jalan raya, kedai, jalan kampung, kutipan sampah, dan sebagainya.
“Kerjasama pihak tuan dan puan sangat penting dalam memastikan bandar kita bersih, sihat, dan selamat,” katanya lagi.
Program Kitar Semula berjaya mengumpul sebanyak 14 tan barangan kitar semula dan e-waste serta disertai oleh 300 orang peserta yang mengitar semula barangan dan e-waste di kawasan MPP.

Selain itu, Program Kelestarian Alam Sekitar di Kawasan Kampung Beradek juga menarik seramai 100 penduduk kampung untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan, termasuk pembuatan sabun dari minyak terpakai, program kitar semula, ceramah menjaga kebersihan sungai, dan sebagainya pada hari yang sama.