
KUCHING – Seramai 195 pesara polis menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Sarawak Siri 4 yang diadakan pada petang tadi di Dewan Pahlawan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am, Batu Kawa di sini.
Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Sarawak telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Anak Ata.
Pingat tersebut dianugerahkan kepada petugas-petugas polis dan Polis Diraja Malaysia bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa era darurat khususnya dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu untuk tempoh 12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960.
Selain itu pingat tersebut turut dianugerahkan kepada petugas-petugas polis yang berkhidmat pada era insurgensi komunis pada 17 Jun 1968 dan 2 Disember 1989 di Semenanjung Malaysia.
Ini termasuk di Sabah dan Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990 yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat.
Sementara itu pada sebelah pagi telah diadakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Sarawak bagi Siri 3 dengan kira-kira 186 pesara polis telah menerima pingat masing-masing.





