
MIRI – Bandar Miri menerima ketibaan kira-kira 120 pelancong dari Hong Kong menerusi lawatan selama lima hari empat malam bermula 26 hingga 30 April ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran pelancongan khusus.
Rombongan tersebut tidak sekadar bercuti, sebaliknya disajikan dengan elemen pembelajaran dan pengalaman menyeluruh.
Ia memberi peluang kepada pelawat untuk memahami keunikan Miri dari pelbagai sudut termasuk warisan semula jadi, ekologi hutan hujan, kepelbagaian budaya, pendidikan serta industri tempatan.
Antara lokasi utama yang menjadi tumpuan pelancong ialah Taman Negara Niah, penempatan rumah panjang, Canada Hill dan monumen Grand Old Lady.
Selain itu, mereka turut melawat beberapa buah sekolah menengah, fasiliti minyak sawit Sarawak Oil Palms (SOP), Curtin University Malaysia dan beberapa destinasi menarik di negara jiran, Brunei.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, program tersebut disifatkan sebagai satu kejayaan penting dalam usaha memposisikan Miri sebagai destinasi pelancongan di luar daripada kebiasaan.
“Gabungan keindahan alam semula jadi bertaraf dunia, kekayaan budaya, nilai sejarah serta kemudahan pendidikan menjadikan Miri berpotensi menarik pelbagai segmen pelancong.
“Ini termasuk golongan pelajar, keluarga, kumpulan pendidikan, pencinta budaya dan pelancong eko,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan juga selari dengan perubahan trend pelancongan global masa kini yang lebih menekankan pengalaman bermakna, mendalami pemahaman komuniti tempatan serta menghargai kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, lawatan berkenaan turut mencerminkan kepentingan kerjasama serantau yang utuh antara Malaysia dan Brunei.
Jelas Choon Man, walaupun usaha giat dijalankan bagi menambah laluan penerbangan antarabangsa terus ke Miri, penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebagai pintu masuk alternatif membuktikan potensi sinergi yang tinggi antara kedua-dua destinasi.
“Kerjasama yang lebih erat termasuk menerusi cadangan pakej ‘satu tiket, dua negara’ dijangka mampu meningkatkan daya saing rantau ini dalam pasaran pelancongan antarabangsa, seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada kedua-dua buah negara,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi dan pengendali pelancongan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Katanya, pihak kementerian akan terus komited untuk membangunkan produk pelancongan baharu, selain memperkukuh kempen promosi Miri pada peringkat global.
Foto : YB Chiew Choon Man



