Minda Merdeka II: Hargailah keperibadian Kak Wan

SAYA lanjutkan tulisan semalam dengan menyorot keperibadian isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) – Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mesra dipanggil Kak Wan.

Wanita berjiwa kental ini sebenarnya pemurah dengan senyuman. Kadangkala beliau kelihatan kelakar dan hal ini diakui pegawai dan petugas terdekat dengannya.

Dalam satu sesi santai saya dan rakan senegeri dengan mantan Setiausaha Politik Kak Wan – Datuk Romli Ishak – saya diberitahu bahawa wanita budiman itu tidak canggung memakai baju lama yang masih dapat dikenakan.

Percaya atau tidak, hakikatnya ada baju kurung Kak Wan itu berusia 20 tahun dan itu dipakainya ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM)!

Allahurabbi, itu amat luar biasa bagi seorang wanita berkedudukan seperti Kak Wan!

Dikatakan bahawa itu menjadi falsafah kehidupan Kak Wan yang antaranya merupakan hasil didikan DSAI dalam susah senang mereka bahtera kehidupan.

Dikatakan bahawa dalam satu penerbangan, Datuk Romli diberitahu seorang pegawai polis bahawa baju TPM koyak, lalu hal itu terus perlahan dimaklumkan kepada Kak Wan.

Apa reaksi dan tindakan spontan Kak Wan?

Rupa-rupanya Kak Wan ke bilik air pesawat; menjahit bajunya. Beliau mengekalkan tradisi wanita tradisional menyimpan jarum dan benang dalam beg tangan.

Apa yang dapat kita pelajari dalam kisah itu? Banyak sebenarnya mutiara kehidupan dalam konteks tersebut, antaranya elakkanlah pembaziran dan hargailah harta benda.

Pada masa yang sama, seorang wanita, setinggi mana pun kedudukannya, kemahiran asas seperti memasak, membasuh, dan menjahit tidak boleh dikesampingkan.

Tidak kurang pentingnya untuk dihayati, kita perlulah mengelakkan pergantungan yang keterlaluan kepada pihak lain sebaliknya cuba berdikari sedapat yang mungkin.

Demikianlah perwatakan Kak Wan, namun itu bukan satu-satunya kisah unik bekas TPM tersebut.

Dalam ruangan ini saya kongsikan pengalaman seorang lagi pegawainya, antaranya Kak Wan dikatakan hanya menggunakan kasut biasa – berjenama Bata.

Beliau menolak cadangan Dr. Zaliha Mustafa yang kini Menteri Wilayah agar memakai kasut Medifeet yang harganya pada ketika itu dalam lingkungan RM200 sepasang.

Penolakan itu dilakukan Kak Wan kerana beliau merasakan bahawa RM200 itu sudah cukup mahal, namun itu bukan bermakna bekas TPM itu kedekut.

Hakikat kepemurahan Kak Wan terbukti apabila beliau menghulurkan wang poketnya kepada kakitangan baharu dan dalam 3-4 bulan pertama itu belum mendapat gaji.

Kakitangan itu mengesahkan bahawa Kak Wan tidak meminta itu dibayar balik.

Selain itu, bukan satu hal yang asing bagi sesiapa yang rapat dengan Kak Wan melihat wanita itu memakai gelang yang sebenarnya sejumlah biji tasbih.

Kak Wan juga kerap berpesan kepada kakitangannya ketika itu bahawa jangan sesekali derhaka akan suami kerana syurga isteri berada pada ketaatan sedemikian.

Itulah Kak Wan – isteri PMX. Sempena bulan kemerdekaan ini, jernihkanlah sikap ke atas mereka, khususnya bagi yang selama ini membenci tanpa sempadan!

Related Posts

Ekonomi MADANI: Bukan sembang kosong atas kertas

BERDASARKAN laporan global, ketika ini dunia masih bergelut dengan krisis tenaga global, ketidaktentuan geopolitik dan pertumbuhan ekonomi yang kekal perlahan. Namun Malaysia di bawah pimpinan Anwar Ibrahim memilih pendekatan berbeza.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Royston agih insentif RM14,800 buat pelajar MRSM Mukah

Royston agih insentif RM14,800 buat pelajar MRSM Mukah

RM300,000 bina semula titian Kampung Selamat Lok Urai

RM300,000 bina semula titian Kampung Selamat Lok Urai

Kawalan pergerakan menteri antara langkah tangani krisis tenaga

Kawalan pergerakan menteri antara langkah tangani krisis tenaga

Pengurusan dana kemanusiaan perlu diperketatkan elak salah guna

Pengurusan dana kemanusiaan perlu diperketatkan elak salah guna

Kerajaan fokus tiga pendekatan hadapi gelombang kedua krisis tenaga

Kerajaan fokus tiga pendekatan hadapi gelombang kedua krisis tenaga

Golongan muda wakili 60 peratus permohonan baharu ahli UMNO

Golongan muda wakili 60 peratus permohonan baharu ahli UMNO