
MENJELANG ketibaan 31 Ogos 2024, elok terlebih dahulu kita merdekakan tanggapan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) apatah lagi jika ‘kita’ ini pembenci beliau.
Sebelum itu, bermohonlah mengikut kepercayaan masing-masing, khasnya orang Islam bagi memperoleh petunjuk agar kehidupan kita berada di landasan kebenaran.
Berkaitan perjuangan DSAI, tidak dapat dinafikan bahawa keluarga beliau melalui denai yang sangat berliku dan hal itu turut dirasai para penyokongnya.
Dalam pendakian memerangi ketidaktelusan pentadbiran negara, pemenjaraan dan isu mata lebam yang dialaminya menuntut satu kesedaran dalam kalangan rakyat.
Keberanian DSAI yang kini diangkat sebagai Perdana Menteri Kesepuluh (PMX) itu sebenarnya bukanlah perkara asing dalam kalangan mahasiswa Anwar pada 1970-an.
Kejayaan merealisasikan Demonstrasi Baling merupakan bukti bahawa beliau mentor dan pejuang yang berani, jujur, amanah membela rakyat terutama golongan marhaen.
Kalau kita berlapang dada membaca kisah hidupnya, Anwar kelihatan seperti jelmaan Hang Nadim versi moden.
Kisahnya mematuhi resam dunia perjuangan yang mulia – jika seseorang itu bersinar, dia tidak akan dipuji sebaliknya dikeji sehingga tiba pada tahap diaibkan dan dibunuh.
Sesiapa yang berada di pekarangan Masjid Negara pada suatu hari yang ‘berbahang’ pada 1998, kejian dan ancaman yang dihadapi DSAI sekeluarga ini bukan suatu rahsia.
Saya beruntung kerana berada dalam persekitaran itu. Dengan kamera serta buku nota persuratkhabaran, dapat saya menyaksikan denyut nadi kecamuk politik negara.
Malangnya, ramai anak muda kini tidak sedar kebangkitan Islam di Malaysia digerakkan oleh Anwar bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Bagi yang buta sejarah, ditegaskan bahawa Anwar dan ABIM itu sinonim. Anwar juga merupakan tokoh pengasas pendidikan Melayu yang progresif.
Rakyat Malaysia mungkin tahu Anwar mengasaskan institusi pendidikan Yayasan Anda di Kampung Baharu, Kuala Lumpur untuk membantu anak Melayu yang keciciran.
Pun begitu, tidak ramai tahu rangkaian kolej dan sekolah yang dibuka oleh para taulan Anwar daripada Yayasan Anda, antaranya Institut Ridwan dan Institut Sofar di Ipoh.
Mereka turut mengoperasikan Sekolah Agama Al-Masriah di Pulau Pinang, Institut Salman di Kedah, Institut Berakan, di Terengganu, dan Institut Fajar di Pahang.
Barangkali ramai juga lupa atau langsung tidak tahu bahawa Anwarlah yang mahukan pelajar lelaki berseluar panjang dan pelajar wanita berbaju kurung serta bertudung.
Apakah lagi kebaikan yang dibawa Anwar?
Bagus pertanyaan itu. Jawapannya, banyak! Dengan jiwa merdeka, telusurilah jasanya berkaitan penubuhan Bank Islam, Tekun, dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Di sebalik itu, ada kisah kecil tentang DSAI yang ‘menyauk’ (mengambil sesuatu dalam keadaan yang kalut) stoking Kak Wan dan harga stoking itu hanya RM14.90.
Dikatakan, stoking jenama ByCheFiza itu dijual di platform pasaran e-dagang. Demikian ringkas cara hidup PMX dan Kak Wan walaupun beliau bergelar Perdana Menteri.
Kisah hidup Anwar memberi iktibar dan pedoman yang kepada rakyat jika mata serta fikiran yang menelitinya sanggup berlaku adil.
Semalam, dalam ulasan berjudul “Anwar anti-Islam?” sedikit sebanyak saya paparkan cara penampilan PMX. Hari ini kebaikan Anwar dilanjutkan.
Kalau anda masih menuduh DSAI liberal, anak angkat Uncle Sam, ejen Yahudi, anti-Islam, pro-Israel, dan mengabaikan bangsa Melayu, jelaslah anda sangat melampau.





