PUTRAJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (Bahaya) yang dijangka berterusan hingga 26 November (Rabu) melibatkan Perlis, beberapa daerah di Kedah, Kelantan dan Besut di Terengganu.
METMalaysia menerusi kenyataan hari ini berkata, kawasan di Kedah yang terlibat adalah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Sik.
Manakala di Kelantan meliputi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Sementara itu, amaran hujan berterusan (Buruk) turut dikeluarkan hingga tarikh sama bagi beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu.
Bagi tahap Waspada, beberapa daerah di Perak, Pahang dan Selangor dijangka mengalami hujan berterusan antara 24 dan 26 November.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi METMalaysia.
Pertanyaan lanjut juga boleh dibuat melalui talian hotline 1-300-22-1638.



