
MESIR kini sedang mengusahakan satu pelan damai baharu yang merangkumi gencatan senjata selama 60 hari di Gaza sebagai pertukaran kepada pembebasan beberapa tebusan Israel serta kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke wilayah yang terkepung itu.
Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty berkata, rancangan tersebut turut melibatkan kerjasama tiga pihak iaitu Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS), dan dianggap sebagai langkah pertama ke arah penyelesaian jangka panjang.
“Kami sedang berusaha ke arah satu penyelesaian berkekalan dan gencatan senjata yang kekal,” katanya dalam temu bual yang disiarkan secara langsung menerusi saluran OnTV tempatan, malam tadi, lapor Anadolu.
Tambah beliau, pelan itu menawarkan gencatan senjata selama 60 hari, dengan pertukaran beberapa tebusan Israel serta penghantaran segera bantuan ke Gaza, termasuk bekalan perubatan.
Langkah ini, kata beliau, diyakini mampu mewujudkan momentum ke arah penyelesaian konflik yang lebih menyeluruh serta membuka laluan kepada pelaksanaan perjanjian yang dicapai pada 19 Januari lalu.
Bagaimanapun, Abdelatty menegaskan bahawa perjanjian yang dicadangkan ini hanya merupakan “langkah pertama” dan perlu disusuli dengan fasa kedua yang melibatkan penghentian kekal permusuhan.
“Ada pandangan dan kefahaman daripada pihak Amerika bahawa sebarang perjanjian akan datang perlu disertakan dengan jaminan bagi memastikan gencatan senjata dapat dikekalkan,” ujarnya lagi.
Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang penyambungan semula serangan oleh Israel boleh mengancam kestabilan rantau ini.








