
KUANTAN – Sambutan Hari Ibu tidak sepatutnya terus mencetuskan polemik dalam kalangan umat Islam, apatah lagi hingga sanggup melabelkan kumpulan meraikan sambutan itu sebagai kafir.
Perkara berkaitan sambutan ini mempunyai perselisihan pendapat dalam kalangan ulama.
Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah berkata, terdapat dua pandangan menyambut Hari Ibu iaitu pertama haram jika penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak.
Manakala bagi pandangan kedua pula, harus seperti menurut Jabatan Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan.
“Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syarak… yang menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa dan tempat.
“Ia bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara khusus dalam agama lain bertentangan dengan akidah Islam,” katanya kepada The Malaysia Press.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang berpandangan, sambutan ini dilaksanakan bagi memuliakan seorang insan bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak.
Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang dititikberatkan dalam al-Quran dan sunah Nabi SAW.
“Ia adalah isu perbezaan pendapat. Yang tak nak sambut Hari ibu, tindakan anda barangkali lebih selamat untuk pengamalan Islam dalam hidup anda.
“Tapi jangan sampai menuduh orang yang sambut Hari Ibu sebagai kafir kerana ia bergantung kepada niat seseorang.
“Bahkan, tindakan menjatuhkan hukum syirik atau kafir adalah perkara sangat berat dalam Islam. Nabi SAW bersabda –
“Sesiapa berkata kepada saudaranya: ‘Wahai kafir’, maka tuduhan itu akan kembali kepada salah seorang daripada mereka. — Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
“Sebab itu ulama Ahli Sunnah sangat berhati-hati dalam bab takfir (mengkafirkan orang),” jelasnya.
Ahmad Irshadi menambah, walaupun dikatakan sambutan ini berasal dari agama lain, tapi jika seorang Muslim yang meraikannya tidak berniat meniru prinsip agama lain bahkan intipati memuliakan ibunya, itu memang ada dalam ajaran Islam.
“Sambutan Hari Ibu itu hanya sekadar bakti tambahan selain bakti yang dilakukannya setiap hari terhadap seorang ibu.
“Ingat, jika ada ulama yang menegahnya, maka ada juga ulama membenarkannya dengan syarat di atas,” tambahnya.





